Selamat Hari
Raya Aidiladha
Semalam, 15 Oktober 2013 bersamaan dengan 10
Zulhijjah 1434, umat Islam di seluruh dunia telah bersama sama menyambut Hari
Raya Aidiladha atau juga dikenali dengan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji.
Hari ini disambut sempena memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang telah
menerima perintah Allah swt untuk mengorbankan putera baginda, Nabi Ismail a.s.
dan kesabaran Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah swt tersebut.
Tahun ini,
beberapa orang sahabat saya yang bertuah telah berlepas ke Mekah dan Madinah kerana
mendapat peluang menjadi tetamu Allah swt dalam menunaikan ibadah haji mereka.
Alhamdulillah, Hisham, Azhar dan Dr Norie bersama pasangan mereka kini berada di Mekah
untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima itu. Semoga mereka mendapat haji
yang mabrur.
Bagi kita
yang berada di Malaysia, Hari Raya Aidiladha ini sewajarnya disambut secara
sederhana bagi menyempurnakan tuntutan agama yang menggalakkan kita
bersederhana dalam kehidupan kita. Tahun ini, Abang Nan dan Che Dah telah
mengorbankan se ekor lembu di Surau Seksyen 6 Shah Alam dan kami, adik adik
ini, telah bersama sama bergotong royong menyediakan makanan untuk dinikmati
bersama. Ada nasi tomato, ayam masak merah, roti jala, kari dan kuih muih.
Hidangan utama pasti nya sup tulang segar dari sembelihan lembu tersebut. Che’
dan Cik Bi juga telah datang dari Kota Bharu untuk bersama sama meraikan
Aidiladha di Shah Alam tahun ini. Walaupun semua orang letih setelah bertungkus
lumus sepanjang hari, kepuasan jelas terpancar diwajah masing masing apabila majlis
korban tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya.
Tak
ketinggalan juga, setiap kali tiba nya Aidiladha, Imran pasti akan memperingati
bahawa, menurut takwim hijrah, Aidiladha adalah merupakan tarikh lahir beliau.
Imran telah dilahirkan pada 28 April 1996 yang juga bersamaan dengan 10
Zulhijjah 1416 . Jadi, walaupun menurut kalender Masihi, beliau baru berusia 17
tahun, 5 bulan dan 17 hari, sekiranya dikira dari kalender Hijrah, umur nya
telah genap 18 tahun. So Ya, Selamat Hari Lahir.